• open panel

APA ITU DANA UNIT AMANAH ?

Unit Amanah merupakan suatu alat pelaburan kolektif, di mana modal para pelabur dikumpulkan ke dalam satu dana untuk diuruskan oleh pengurus-pengurus dana profesional. Dana tersebut akan dilaburkan di dalam pelbagai portfolio ekuiti, sekuriti pendapatan tetap dan aset-aset lain yang dibenarkan oleh surat ikatan di samping Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas Dana Unit Amanah.

BAGAIMANA UNIT AMANAH BERFUNGSI

Unit amanah membabitkan penglibatan tiga pihak iaitu Pemegang Unit / Pelabur yang melabur dalam sesuatu dana amanah, Pemegang Amanah yang bertindak sebagai badan bebas dan penjaga aset yang dilabur dan Syarikat Pengurusan yang menyediakan kepakaran teknikal untuk menguruskan dana berkenaan.

Operasi sesuatu skim unit amanah itu ditadbirkan oleh satu dokumen perundangan yang dipanggil Suratikatan. Ia menyatakan tentang hak dan tanggungjawab Pengurus dan Pemegang Amanah serta hak Pemegang Unit. Ia juga menyatakan secara terperinci bagaimana unit amanah itu harus beroperasi dan diuruskan serta bagaimana menentukan kadar bayaran yuran.

Dengan pertalian sedemikian kita dapat simpulkan yang unit amanah direka bentuk bagi melindungi kepentingan para pelaburnya tidak seperti pelaburan saham biasa ataupun komoditi.

SIAPA MELABUR DALAM UNIT AMANAH?
Secara umumnya, unit amanah sesuai untuk pelabur yang tidak mempunyai masa atau peluang untuk melabur dan memantau prestasi pelaburan mereka secara kerap dan tetap. Melalui dana-dana yang disediakan, mereka mempunyai pilihan pelaburan yang lebih luas (untuk tujuan kepelbagaian pelaburan) dan, yang lebih penting, pengurus-pengurus profesional akan menguruskan dana-dana bagi pihak mereka.

Melabur dalam unit amanah adalah satu cara yang terbaik dan ideal untuk mendapatkan pulangan yang baik dalam jangka sederhana dan panjang berbanding simpanan tunai atau simpanan tetap (fixed deposit). Di samping itu, risiko juga adalah kurang berbanding melabur terus dalam saham atau bon, yang mana hanya boleh diperoleh melalui kepelbagaian portfolio yang benar-benar baik.

© 2011 Pelaburan PM